Thursday 26 July 2012

Emak...Kami Merindui Kehadiranmu

18 September 2007
7 Ramadhan 1426
2030

     Aku dikejutkan dengan kedatangan abang iparku di surau asrama. Waktu itu aku baru sahaja selesai solat terawih 8 rakaat. Mukanya agak cemas dan meminta aku untuk bersiap untuk pulang ke rumah. Katanya emak aku sedang sakit. Waktu tu aku dalam tingkatan 4. Tanpa aku meminta kebenaran warden asrama, aku terus menaiki kereta menuju ke rumahku.

     Di dalam kereta, aku hanya berdiam diri. Memang aku tahu emakku sedang sakit. Ibuku mengidapi angin ahmar. Masa awal puasa, aku ada balik ke rumah kerana pada waktu itu cuti hujung minggu. Pada waktu itu, aku lihat raut wajah ibuku seperti kebiasaannya. Teruk ke makku sampai kami adik beradik kena balik?

18 September 2007
7 Ramadhan 1426
2215

     Aku tiba dirumah. Aku tengok pak saudara aku dah ada di rumah. Mujurlah abang aku yang kerja dilaut ada balik. Dialah yang memanggil doktor datang ke rumahku. Aku tanya kepada ayahku, kenapa dengan mak? Emakku lemah sangat hari tu. Ayahku panggil doktor untuk merawat emakku di rumah. Doktorlah yang menyuruh ayahku memanggil semua anak-anak pulang untuk melihat emakku. Pada malam tu, aku berada disamping emakku sambil membacakan surah yasiin disisinya. Air mata membasahi pipi emakku. Dia tidak mampu lagi untuk bangun dari tempat pembaringannya itu. 

19 September 2007
7 Ramadhan 1426
0030 

     Dadanya dari tadi turun naik. Ku lihat air mata emakku meleleh jatuh kepipinya. Aku masih lagi disamping emakku. Doktor membisikkan sesuatu kepada ayahku. Pada masa ini, hanya 4 orang adik beradik ku berada di rumah. Lagi empat orang masih lagi dalam perjalanan pulang dari kuala lumpur. Aku memohon ampun kepada emakku, untuk yang terakhir kalinya. Doktor dah memberikan reaksi yang emakku sudah tidak lama lagi. Dia meminta ayahku agar banyakkan bersabar dan pasrah dengan apa yang berlaku.


     Mak saudara aku tidak putus-putus membisikkan kalimah syahadah di telinga emakku. Jelas terpancar pada sinar mata emakku, dia tidak rela untuk meninggalkan kami semua. Aku yang dari tadi berada di sisi emak mula hiba. Hembusan nafas yang terakhir keluar dari mulut emakku. Kini ku sedar, emakku telah tiada di dunia ini, namun di hati tetap utuh bersemi.



Tiada peluang kedua untuk berkhidmat kepada orang tua bila mana dia sudah tiada lagi. Hanya doa anak yang soleh sahaja menjadi peneman hidupmu di alam yang lain...

Tangguh Puasa VS Tangguh Haji

     Baru-baru ini atlet yang menyertai Olimpik di London tersenyum gembira kerana seorang mufti Perak Tan Sri Harussani menyatakan bahawa boleh seseorang atlit muslim itu menangguhkan puasa kerana menyertai olimpik.

     Beberapa hari selepas itu, mufti Perlis Dr Juanda Jaya menyokong statement Tan Sri Harussani ini dengan menyatakan atlit-atlit muslim itu sedang bermusafir dan mereka mendapat RUKHSAH untuk perjalanan mereka itu. Tambahnya lagi, ia terpulang kepada atlit yang terbabit samada mahu berpuasa mahupun tidak, ia adalah pilihan individu.

     Bukan itu yang menjadi persoalannya. Jika anda seorang yang mengikuti perkembangan semasa, pernah satu masa mufti mengeluarkan tidak boleh menangguhkan haji untuk menghadapi PRU13. Fenomena ini adalah sama. Memang benar atlit mempunyai RUKHSAH, tetapi hanyalah 3 hari. Itu syarat untuk musafir. Lebih daripada 3 hari mereka bermusafir, mereka wajib berpuasa seperti sediakala.

     Menangguhkan Haji untuk PRU13. Dalam perkara ini, dua-dua adalah perkara yang wajib dilakukan oleh setiap individu muslim. Dalam hal ini, kita bercanggah mengenai 2 perkara yang wajib. Tapi lain pula halnya apabila timbul perkara mengenai penangguhan puasa kerana olimpik.

     Puasa merupakan suatu perkara yang wajib ditunaikan dan olimpik bukan merupakan benda yang wajib. Olimpik seperti yang kita ketahui penuh dengan atlit-atlit dari luar negara yang rata-ratanya tidak menutup aurat. Jadi boleh dikategorikan Olimpik ini merupakan himpunan maksiat. Jadi,pandai-pandailah dalam menilai.
   
     Admin: Dulu Dato Mufti kata, Haji mesti diutamakan dari PRU, sebab Haji adalah rukun Islam, sekarang ni pulak mufti kata takpe tak puasa kerana olimpik, nak tanya dengan jujur dan ikhlas mintalah Dato Mufti jawap ' olimpik rukun Islam yang keberapa ye?

*p/s: ini pendapat peribadi, tidak dipengaruhi mana-mana pihak. wallahualam...

Sunday 22 July 2012

Sirah 1.5 Penyebaran Dakwah Part 1

   Adapun dakwah baginda terbahagi kepada dua bahagian. Yang pertama dakwah secara tersembunyi(siir) dan dakwah secara terang-terangan. Dakwah secara terangan ini pula terbahagi kepada tiga iaitu;
     1) Dakwah secara terangan tanpa kekerasan
     2) Dakwah secara terangan menggunakan senjata untuk mempertahankan diri.
     3) Dakwah secara terangan dan mengangkat senjata terhadap sesiapa yang menghalang kerja-kerja dakwah.

   Seruan Allah kepada baginda untuk meyebarkan dakwah secara sembunyi disambut oleh baginda bagi mengembalikan penduduk mekah agar menyingkirkan penyembahan berhala. Dilakukan secara tersembunyi kerana pada waktu ini, kaum Quraisy terlalu fanatik dengan penyembahan berhala yang telah diwarisi sejak turun-temurun.

   Pada awalnya, baginda mengajak sahabat-sahabat yang karib dengan baginda. Diantara yang pertama memeluk Islam adalah Sayyidina Khadijah,Saidina Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harithah (orang suruhan dan anak angkat baginda), Uthman bin Affan, Al Zubair bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Sa'ad bin Abi Waqqas.

   Ketika pengikut baginda meningkat kepada 30 orang lelaki dan perempuan, baginda telah memilih suatu tempat yang agak terpencil untuk mengadakan perkongsian ilmu. Baginda telah memilih rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam untuk baginda menyampaikan segala taklimat dan tunjuk ajar dan juga nasihat. Semakin lama,semakin meningkat bilangan yang memeluk Islam.

Sekadar perkongsian. Sumber daripada Fiqh As-Sirah oleh Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Buti

*Nantikan post yang akan datang berkaitan dengan dakwah secara terang-terangan. Insyaallah...

Friday 20 July 2012

Salam Ramadhan

Selamat Menempuhi Bulan Ramadhan dengan jayanya. Ikhlas dariku kepada semua teman-teman.

Thursday 19 July 2012

Ramadhan Kembali

Bismillahirrahmanirrahim....

     Ramadhan menjelma lagi pada tahun ini. Alhamdulillah kita masih lagi diberi peluang untuk sama-sama berada dalam bulan yang penuh barakah ini. Jika mahu dibandingkan dengan orang yang pergi dulu daripada kita, kita sangat-sangat beruntung kerana bakal melalui MADRASAH Ramadhan. Insyallah.

     Pada bulan yang penuh rahmat ini, Allah membuka seluas-luasnya pintu Syurga untuk sekalian umatNya dan Allah menutup serapat-rapatnya pintu-pintu neraka. Allah juga melipatgandakan pahala orang yang mengerjakan amal kebaikan.

     Dalam bulan ini, bermacam-macam amal kebaikan yang senang untuk kita lakukan. Walaupun kita hanya memberi sebutir kurma untuk orang berbuka puasa,kita akan mendapat pahala sebagaimana orang yang berbuka itu dapat.

     Tetapi AWAS!!! Baginda Muhammad bersamda dalam hadisnya "Betapa ramai orang yang berpuasa yang hanya mendapat lapar dan dahaga." Baginda menyebut, ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak mendapat apa-apa pun daripada puasanya melainkan hanya lapar dan dahaga. Mengapa hal ini terjadi? Hal ini terjadi mungkin kerana tuntutan hawa nafsu yang mahukan perkara-perkara yang indah dan perkara-perkara maksiat. Justeru, sempena bulan yang mulia ini, marilah kita didik nafsu kita untuk sama-sama menyukai perkara-perkara yang Allah suka.

     Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan berada dalam bulan  yang mulia ini untuk mendidik diri kita agar lebih dekat kepada pencipta kita. Seterusnya agar menjadikan diri kita terus ISTIQAMAH dalam melakukan amal kebaikan tatkala Ramadhan akan melabuhkan tirainya.

Wallahualam...

Saturday 14 July 2012

Tugas Getir Anak Muda

Pepatah cina ada menyebut "andai inginkan kebahagian setahun, semailah benih, andai inginkan kebahagian sepuluh tahun, tanamlah pokok dan andai inginkan kebahagian seratus tahun, didiklah manusia."


Mendidik manusia bukanlah suatu perkara yang mudah. Pelbagai onak dan duri terpaksa dilalui sebelum berjaya menghasilkan seorang manusia yang berkualiti yang mampu untuk menjadi tonggak kepada pemacu agama Allah di muka bumi ini. 


Ibu kepada Imam Syafie pernah ditanya bagaimana beliau dapat mendidik Imam Syafie sehingga menjadi seorang yang alim dan menjadi tempat rujukan orang ramai. Beliau menjawab aku mendidiknya sebelum dia dilahirkan dimuka bumi ini lagi. Ini bermakna, untuk mendidik seorang anak khususnya, haruslah bermula pada diri ibubapa itu sendiri. Ibubapa yang menjaga segala perilaku dan akhlak yang baik mampu untuk menghasilkan individu yang bermutu dan berkualiti.


Imam Hassan Al-Banna ada menyebut "andai ingin melihat Islam berdiri di negara kamu, tanamlah Islam dalam diri kamu dahulu, nescaya Islam akan tertegak dengan sendirinya dalam negara kamu."


Justeru, tidak dapat tidak untuk kita sebagai hambaNya agar mendidik diri kita menjadi seorang yang bertanggungjawab terhadap agamaNya. Betapa ramainya orang yang mengaku dirinya Islam, namun pabila datang seruan untuk berjuang pada jalan Allah, pelbagai alasan dikeluarkan.


Barisan warga muda harus sedar akan hal ini. Kita ambil daripada pengajaran yang lepas, pada umur berapa Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya menawan Kota Kostinepal? Muda bukan. Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang boleh kita jadikan panduan untuk menyemarakkan lagi kebangkitan warga muda. Janganlah jadi warga muda yang hanya ditundingkan jari atas perkara-perkara yang buruk, tapi bertindaklah sebagai barisan yang menjadi tulang belakang dalam pembangunan agama Allah.

wallahualam...

Monday 9 July 2012

8 ganggunan kepada manusia

Dalam surah At-taubah ayat ke 23, Allah menerangkan terdapat 8 gangguan kepada manusia;

1)Bapa-bapa kamu(ibubapa)
2)Anak kamu
3)Saudara kamu
4)Isteri kamu
5)Keluarga kamu
6)Harta kamu
7)Perdagangan kamu
8)Tempat tinggal kamu

Seandainya kemu lebih cintakan 8 golongan ini lebih daripada kamu mencintai Allah dan Rasul serta berjuang di jalan Allah,maka tunggulah sampai Allah datangkan utusanNya.

Wednesday 4 July 2012

Nisfu Syaaban

Assalammualaikum... Malam ini umat Islam menyambut nisfu syaaban. dikesempatan ini, sukalah untuk saya kongsikan sedikit info berkaitan dengan bulan syaaban. Segala yang dikongsikan disini,adalah pesanan untuk diri saya sendiri juga. Yang mana baik ambillah, yang mana tak elok, tegurlah saya.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata: "Sesungguhnya Allah عز وجل menurunkan (para malaikat dengan perintah-Nya) pada malam nisfu Sya’ban ke langit dunia, lalu Allah mengampuni dosa² (para hamba-Nya di mana keampunan pada malam itu) lebih banyak dari bilangan bulu² yang terdapat pada kambing² peliharaan (bani) Kalb."
~ Riwayat Imam Ahmad رحمه الله.


*Bani Kalb adalah kabilah Arab yang terbesar atau yang memiliki bilangan kambing yang terbanyak.



Di sini dinyatakan kelebihan malam nisfu Syaaban sebagaimana sabda Nabi saw,


قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا، فَإِنَّ اللهَ تَعَالَى يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ: أَلاَ مُسْـتَغْفِر فَأَغْفِر لَهُ، أَلاَ مَسْتَرْزق فَأَرْزُقهُ، أَلاَ مُبْتَلى فَأُعَافِيه، أَلاَ كَذَا، أَلاَ كَذَا حَتَّى يَطلعُ الفَجْر.

Yang bermaksud, Rasulullah saw telah bersabda: Apabila tiba malam Nisfu Syaaban maka kamu hidupkanlah malamnya dan kamu berpuasa di siang harinya, sesungguhnya Allah turun (hampir) padanya dari terbenam matahari ke langit dunia dan berfirman: Sekiranya terdapat orang yang memohon keampunan maka Aku ampunkannya, sekiranya terdapat orang yang meminta rezeki maka Aku beri rezeki kepadanya, sekiranya terdapat orang yang ditimpa bala maka Aku sejahterakannya, sekiranya begitu… sekiranya begini… sehinggalah terbitnya fajar.
(Riwayat Ibnu Majah)



Terdapat beberapa golongan yang Allah tidak menoleh kepada mereka. Antaranya ialah:


1-Orang yang syirik kepada Allah
2-Pengadu domba (kaki batu api)
3-Pemutus tali silaturrahim
4-Penderhaka kepada ibubapa
5-Orang yang ketagih arak


Marilah kita manfaatkan segala ruang yang ada untuk memperbanyakkan amalan untuk ingat kepada Allah. Kita ber'fb' berjam-jam,namun masa kita dengan Allah hanyalah sekadar sekilas pandang sahaja. Tidak malukah kita dengan tuhan yang telah memberi segala nikmat untuk kita terus hidup di muka bumiNya ini?


Sekian....



Tuesday 12 June 2012

jom menghafal quran

teknik2 nak hafal yang pernah dibelajar....

1)baca page yang nak dihafal tu..baca dalam 4-5 kali
2)check bacaan untuk page yang nak dihafal tu dengan member...pastikan tiada kesalahan untuk bacaan tu(baca dengan tengak quran)
3)start hafal quran. sebelum hafal,bace lg skali ayat yang hendak di hafal tu dengan tengok quran. potong2 sket ayat yg nak dihafal tu supaya senang utk dihafal...


*pastikan ayat yang dipotong tu tak lari makna asalnya....

contoh nak hafal ayat nie

-( ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ) ( هُدًى لِلْمُتَّقِينَ)-

potong ayat tu jd mcm nie ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ

4) hafal potongan nie dulu....lepas igt potongan tuu,sambung plak dengan potongan yg seterusnya iaitu yang nie هُدًى لِلْمُتَّقِينَ

5) lepas semua potongan tu dah dihafal, sambungkan potongan2 ayat tu....

6)pastu,srh kawan check dengan kawan samada ayat yang dihafal tu btol k tak....

selamat mencuba

Sunday 3 June 2012

10k???banyaknya.....


Sudah menjadi fenomena pada tiap-tiap kali cuti sekolah, di sana sini penuh dengan kenduri kahwin yang penuh dengan warna-warni.

Sempatlah saya berkunjung ke salah sebuah rumah di majlis sambut menantu berhampiran dengan rumah saya. Di suatu sudut, kedengaran suara tetamu yang datang yang membuatkanku berfikir sejenak."Kalau aku kahwin nanti, aku nak hantaran aku mahal sikit. Dalam 10k cukuplah kot."

Mak ai!!! Mahalnya.Itulah yang berlaku hari ini. Bukan wang hantaran yang dipersalahkan, tapi diri kita sendiri yang patut dipersalahkan. Fenomena pada hari ini lebih suka melihat gred yang ada pada si perempuan untuk meletakkan jumlah wang hantaran mereka. Sebagai contoh, untuk pemegang diploma hantaran yang dikenakan sebanyak RM8k, lain pula untuk yang memegang ijazah.

Disaat ini, saya mula berfikir, adakah mereka ini ingin menjual diri mereka dengan meletakkan hantaran yang tinggi? Jika ditanya soal ini, semestinya mereka akan mengatakan tidak. Tapi seolah-olah itulah yang hendak dikatakan oleh mereka.

Hari ini, adat lebih diutamakan daripada menerapkan nilai-nilai agama dalam perkahwinan. Adakah kita berasa hina andai hantaran yang dikeluarkan adalah rendah? Apakah yang hendak dicapai dengan meletakkan hantaran yang tinggi? Tepuk dada, tanya diri sendiri.

Kadang-kadang, kesian kepada si lelaki. Terpaksa berusaha sehabis daya untuk memenuhi kadar wang hantaran yang diminta. kadang-kadang, ada yang sanggup berhutang. Buat apa hanya berseronok sehari, sedangkan pada hari-hari mendatang pening dan serabut memikirkan bagaimana mahu menjelaskan hutang tersebut. "Buat apa bersenang untuk sehari kalau kesengsaraan setahun menanti?"


Fikir-fikirkanlah wahai semua. Kita berkahwin untuk mencari kebahagiaan dan untuk melahirkan khalifah yang boleh membawa agama dimuka bumi ini. Bagaimana mungkin kita mahu mendapatkan hasil yang berkualiti dengan cara yang tidak berkualiti.

Wallahu 'allam... Selamat berwalimah =)

Wednesday 30 May 2012

daripada api-api syaitan


engkau mengata aku....
aku mengata engkau....

Perkara sebegini biasa kita hadapi sekarang ini. Bukan mahu menunding jari kepada mana-mana pihak,tapi itulah realiti yang terjadi hari ini. Mengapa kita harus untuk bertelagah,sedangkan kita mampu untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan baik dan harmoni.

Sangatlah dikesali, kerana yang bertelagah bukannya orang lain. Tapi bertelagah sesama Islam. Sedangkan Allah berfirman dalam surah Al-Hujurat "sesungguhnya orang-orang uang beriman itu bersaudara,maka damaikanlah dua-dua belah pihak yang sedang bertelagah." 



Entah dimana silapnya kita pada hari ini. Mungkin kurangnya sikap BERLAPANG DADA pada diri tiap-tiap individu. Atau mungkin sikap EGO yang sengat menebal dalam diri, menyebabkan perkara yang temeh boleh dianggap sebagai suatu masalah yang besar.

Fikir-fikirkan lah dan berdamailah....Wallahu 'alam...

Monday 14 May 2012

Kau Bersamaku




"terima kasih daus...mak cik ini ibu daus jugak.
selalu doa daus berjaya dunia akhirat."
amin....


Betapa aku gembira melihat rakan-rakanku...
Saat mereka menzahirkan perasaan masing-masing kepada ibu mereka...
Senyuman yang terukir di bibir menceritakan segalanya...
Suatu kepuasan yang tak terhingga dan terungkap dek tutur kata...

Namun...aku hanya mampu untuk melihat...
Aku tidak mampu untuk melakukan seperti mereka semua...
Tapi, aku tetap bersyukur...
Dianugerahkan teman seperjuangan..
Yang sentiasa ada tatkala suka dan duka...

Detik 22:42 malam...sepotong mesej masuk ke phone aku...
Sepotong ayat yang cukup membuatkan hati aku rasa sebak...
mak cik ini ibu daus jugak...
ungkapan yang telah terpisah dari hidupku selama 4 tahun...
Betapa terharunya aku...
Terima kasih dariku atas kepekaanmu terhadapku

-aku yang merinduimu-
13:51
Isnin

Sunday 6 May 2012

Cukup Ke Hanya Berdoa?

Ramli dan Zainal telah berkawan sejak dibangku persekolahan lagi. Apabila memasuki alam universiti, mereka ditakdirkan untuk belajar di universiti yang sama. Kedua-dua orang sahabat ini selalu menghabiskan masa mereka bersama di kala waktu petang.

Ramli merupakan seorang yang rajin belajar dan selalu mendapat keputusan yang baik dalam kelas. Dia yakin, bahawa Allahlah yang memberi segala segala nikmat itu kepadanya. Namun berbeza pula dengan Zainal. Dia seorang yang malas untuk berusaha dalam pelajaran, tetapi dia selalu berdoa kepada Allah agar mengurniakan kepadanya keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Allah maha pemurah, Alhamdulillah Zainal pun selalu mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajarannya.

Suatu hari, Ramli menasihati Zainal agar jangan hanya selalu mengharapkan doa kepada Allah, tetapi tiada tindakan dibuat.

"Aku tengok kau tak belajar pun. Peperiksaan dah nak dekat ni." tegur Ramli

"Alah. Aku dah berdoalah kat Allah. Mesti Allah tolong aku punya. Kau tengoklah keputusan aku sekarang ni, bukan teruk pun" balas Zainal

"Betul result kau sekarang ni bukanlah teruk sangat. Allah tu maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Mungkin ini sebagai istidraj kepada kau. Allah nak uji kau dengan kenikmatan yang hanya sementara ini." Ramli terus menasihati Zainal

"Alah, kau ni sibuklah. Aku kan dah berdoa. Tu pun sebahagian daripada usaha aku apa. Bukannya aku duduk saja kat rumah, aku berdoalah." Zainal tetap berdegil.

"Aku nak kau sendiri berfikir. Andai kata kau lapar, makanan tak ada depan mata. Pastu kau berdoa kepada Allah. Ya Allah, aku sedang lapar ni, boleh tak kau hantarkan kepada aku sedikit makanan untuk aku makan."

"Agak-agak kau akan kenyang tak?" sambung Ramli lagi.

"Sudah la. Aku lebih selesa begini. Sebab Allah itu sentiasa melihat akan doa aku." sambil berlalu pergi dari Ramli.

Peperiksaan makin tiba. Ramli seperti kebiasaannya menjelang exam, dia akan ke library untuk mentelaan pelajaran. Bilik-bilik pensyarah akan dia lawati untuk bertanya segala permasalahan yang berkaitan dengan pelajarannya.

Berbeza dengan Zainal yang hanya menghabiskan masanya di depan laptopnya bermain game. Prinsipnya tetap tidak berubah dengan hanya berharapkan doa kepada Allah semata-mata.

Exam telah selamat berlangsung. Ada yang keluar dewan dengan wajah yang gembira, ada yang membawa muka yang masam tidak kurang juga mereka yang seperti tiada apa-apa berlaku. Ramli tercari-cari dimana kelibat Zainal.

Tiba-tiba, jauh disudut dewan kelihatan Zainal sedang duduk termenung seperti ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.Ramli segera menghampiri Zainal.

"Kenapa ni Zainal. Nampak macam problem besar je?" soal Ramli

"Aku malu dengan kau Ramli. Segala kata-kata kau selama ni memang betul. Tapi kenapa aku tak endahkannya."

"Aku kantoi dalam exam tadi. Tak dapat nak jawab satu apa pun. Aku hanya bergantung kepada doaku kepada Allah tapi tiada usaha yang aku lakukan."

"Allah telah membuka pintu hati kau Zainal agar kau tak terus hanyut dengan kenikmatan yang sementara ini. Alhamdulillah, Allah beri kau kesedaran awal. Kalau kau kantoi time exam besar nanti, lagi terukkan."

"Kita jatuh sekali bukan bererti kita jatuh untuk selama-lamanya. Jom bangkit, kita sama-sama buat yang terbaik lagi." Ramli memujuk Zainal.

"Insyaallah. Aku nak berubah"

p/s:
1) Jangan hanya bergantung kepada doa semata-mata tanpa sebarang usaha.
2) Sebagai seorang sahabat, seandainya sahabat anda tersasar dari landasan, tariknya balik agar berada dalam landasan yang tepat.

Formula untuk berjaya :

D-Doa
U-Usaha
I-Istiqamah
T-Tawakal

Wallahu 'alam...

Monday 23 April 2012

Tiada Yang Mustahil

Di suatu sudut perkampungan, tinggal sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ayah dan anaknya. Si ayah yang sudah tua itu memiliki  seorang anak yang sentiasa melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.

Suatu hari, ayahnya menegur anaknya itu agar tidak lagi melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah. Si ayah berasa teramat sedih melihat saban hari anaknya akan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Namun nasihat ayahnya tetap tidak diendahkan oleh si anak.

"Wahai anakku,aku bakal menutup mata dari melihat dunia ini. Adalah menjadi suatu sesalan bagi aku apabila aku mati nanti, dirimu tetap tidak berubah untuk mengingati Allah. Bermula pada ketika ini, setiap perkara yang engkau lakukan yang mengundang marah Allah, akan aku pacakkan satu paku di dinding itu." berkata si ayah.

Namun anaknya tidak sedikit pun terkesan pada hatinya.

Selang beberapa bulan, si anak melihat ayahnya memcakkan sebatang paku pada dinding yang telah dinyatakan oleh ayahnya. Dilihatnya pada dinding tersebut penuh dengan paku sehinggakan tidak ada ruangan kosong pada dinding tersebut. Terbit perasaan insaf dalam diri si anak untuk berubah. Betapa selama ini, dia hanya leka dengan dunianya sahaja.

Bermula pada hari ini, si anak berubah sedikit demi sedikit. Setiap kebaikan yang dilakukannya, si ayah akan mencabut paku yang telah dipacakkan semasa dia melakukan kemurkaan kepada Allah dulu.

Sekitar dua tahun selepas itu, si anak melihat ayahnya mencabut batang paku yang terakhir pada dinding itu. Terpancar jelas kegembiraan pada wajah ayahnya apabila mencabut paku yang terakhir itu.

"Wahai anakku, hari ini aku sangat terharu akan perubahan dirimu. Namun anakku,lihatlah pada dinding itu. Walaupun paku telah aku buang dari dinding itu, namun masih terdapat kesan yang ditinggalkan pada dinding tersebut."

"Aku mahu kau ingat, memang sukar untuk memadamkan keburukan yang telah kita lakukan kepada orang lain. Namun, kebaikanlah yang dapat memadamkan api keburukan yang telah kita lakukan dulu. Teruskanlah istiqamah dalam melakukan perubahan ini."

Tidak lama selepas itu si ayah pun meninggal dunia dan si anak terus istiqamah dengan perubahan dirinya. Pada hari ini si anak tersebut telah menjadi orang yang disegani oleh masyarakat dan sentiasa membantu sesiapa yang memerlukan.

p/s:

1) Tidak mustahil untuk melakukan perubahan
2) Keburukan lebih senang diingati daripada kebaikan
3) Tiada apa yang paling bernilai dimata seorang bapa, hanyalah ingin melihat nilai murnia terbit dalam diri anaknya

Wallahu A'lam...

Friday 20 April 2012

Sirah 1.4-Penerimaan Wahyu Yang Pertama

Menjelang usia Baginda 40 tahun, baginda menerima wahyu yang pertama. Sebelum baginda menerima wahyu yang pertama, Allah telah mendatangkan kepada baginda gambaran ataupun suatu tanda yang berupa mimpi yang baik lagi benar semasa di dalam tidur baginda. Mimpi tersebut berupa suatu cahaya yang datang seperti cahaya subuh dan meminta baginda untuk berkhalwat (mengasingkan diri) ke Gua Hira' lalu bertahannuth (beribadat) di dalamnya selama beberapa malam.

Sewaktu di dalam gua, malaikat Jibril telah datang mengadap baginda lalu berkata kepada baginda "iqra'!". Berkata baginda "ma ana biqari in"(aku tak pandai membaca). Kemudian Jibril mengambil baginda dan memeluk baginda sekuat-kuatnya sehingga terasa oleh baginda dengan kesungguhan Jibril. Kemudian dilepasnya baginda.

Jibril sekali lagi berkata,"iqra'!". Berkata baginda "ma ana biqari in"(aku tak pandai membaca). Perbuatan sedemikian berulang sebanyak tiga kali. Selepas ke tiga kalinya baginda dilepaskan, Jibril membaca tiga ayat dari surah Al-A'laq.

Baginda pulang ke rumah dengan keadaan yang takut dan berdebar-debar. Setibanya di rumah, baginda meminta isteri baginda agar menyelimuti baginda. Isteri baginda, Khadijah pergi bertemu dengan bapa saudaranya iaitu seorang yang beragama Nasrani iaitu Waraqah bin Naufal Ibnu Asad bin Abdul' Uzza. Waraqah merupakan seorang yang pandai menulis kitab 'Ibrani .

"Wahai bapa saudaraku! Cuba dengarkan kepada anak saudaramu ini." berkata Khadijah.

"Wahai anak saudaraku,apakah yang engkau lihat itu?"

Lalu baginda menceritakan kepada Waraqah apa yang dilalui olehnya pada malam itu.

Maka Waraqah menjawab, "itu lah Jibril yang telah datang kepadamu. Sebagaimana telah datang kepada Nabi Musa. Setelah beberapa lama sesudah itu,Waraqah pun meninggal dunia.

Setelah dari itu, wahyu telah diberhentikan seketika. Para ulama' berselisih pendapat mengenai jangka masa yang dibekukan wahyu. Ada yang mengatakan  enam bulan, ada yang mengatakan tiga tahun. Dan yang paling  disepakati adalah selama enam bulan.

Selepas pembekuan wahyu oleh Allah, maka wahyu diturunkan secara berperingkat-peringkat.

Wallahu a'lam....

Monday 16 April 2012

Jadilah Sahabat Seperti Ini

Ramli dan Atan merupakan sahabat yang amat rapat. Walaupun mereka tinggal berjauhan, namun mereka sering berjumpa di masjid tiap kali waktu solat. Apabila selesai solat,mereka akan bersembang di luar masjid sebelum pulang ke rumah masing.

Atan: "kamu apa khabar Ramli?"

Ramli: "khabar baik Atan. selepas solat tadi,apa yang kamu doakan Atan?"

Atan: "bulan nie perbelanjaan aku lebih sedikit daripada biasa. jadi aku mintak agar Allah limpahkan aku dengan rezki yang banyak dan berkat. kau pulak doa apa Ramli?"

Ramli hanya tersenyum dan tidak menjawab soalan tersebut.

Mereka kembali ke rumah masing-masing.

Keesokkan harinya,mereka bertemu lagi di masjid. Seperti biasa,selepas waktu solat,mereka akan bersembang sekejap sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Atan memulakan bicara "aku gembira sangat hari ini. Bos aku telah bagi bonus kepadaku. Alhamdulillah,doaku semalam telah dimakbulkan oleh Allah. Dan hari ini aku doa, agar berjaya dalam kerjaya aku. Maklumlah, anak-anak aku dah besarkan. Nak pakai banyak duit."

"apa yang kau doakan hari ini?"soal Atan kepada Ramli.

"anak aku sakit Atan. Dan aku berharap dia cepat sembuh dan kembali sihat." Ramli masih lagi dapat menghadiahkan senyuman kepada sahabatnya,Atan.

Dua hari Ramli tidak dapat ke masjid kerana menguruskan anaknya yang sakit. Selepas dua hari, Ramli kembali ke masjid dan berjumpa dengan sahabatnya,Atan.

"Dah lama tak nampak kamu. Kamu kemana?"soal Atan

"aku ada jer,kat rumah. Sibuk sikit je." jawab Ramli.

"Aku sekarang dah dinaikkan pangkat. Alhamdulillah doa aku hari tu dah dimakbulkan Allah."

"eh,anak kau macam mana?"soal Atan lagi.

"alhamdulillah,dia dah beransur sembuh. tapi masih macam tulah."senyuman tetap tidak lekang dari bibir ramli.

"aku hairanlah tengok engkau nie Ramli. kau tetap tersenyum walaupun terima banyak ujian. Dan aku hairan,kenapa doaku sering dimakbulkan Allah,tapi doamu tidak lagi membuahkan hasil?"Atan meluahkan apa yang dirasainya.

"Entah la Atan. Mungkin tak ada rezeki lagi kot."ringkas saja jawapan dari Ramli.

"kau berdoalah kuat-kuat lagi ya Ramli. Insyaallah akan dimakbulkan. Tapi, boleh aku tahu apa yang engkau doakan?"

"aku hanya dioakan, agar doa engkau Atan,sebagai sahabatku dimakbulkan oleh Allah."

Mendengar jawapan dari Ramli, Atan terus memeluk erat sahabatnya itu.

Beginilah nilai seorang sahabat, yang lebih mementingkan kepentingan sahabatnya lebih dari diri sendiri.

p/s: bersangka baiklah dengan Allah. mungkin dia tidak memakbulkan lagi doa kalian kerana sedang mengaturkan sesuatu yang lebih dari apa yang kalian hajatkan.
      Melebihkan sahabat,merupakan peringkat yang tertinggi dalam bersahabat. Berapa ramai yang sanggup mengetepikan kepentingan sendiri semata-mata ingin melihat sahabatnya hidup dalam keadaan yang baik dan gembira.

Jadilah sahabat yang berperanan....wallahu a'lam

Sunday 15 April 2012

Salasilah Keluargaku....=)


Assalamualaikum semua...

Saja je nak letak salasilah keluarga saya ni.
Alhamdulillah,dapat jugak kumpul serba sedikit tentang salasilah keluarga saya nie...hehehe...

Sunday 8 April 2012

Kisah Pendayung dan Profesor

Suatu hari, seorang pendayung sampan membawa seorang profesor menyusuri sungai dengan sampannya. Di tengah perjalanannya,terjadilah perbualan antara pendayung dan profesor tersebut.

"kamu pandai menulis?"tanya profesor kepada pendayung.

"tidak.saya buta huruf dan tak tahu membaca." jawab pendayung.

"itu bermakna,kamu telah kehilangan separuh dari kehidupan kamu. orang yang tak pandai menulis dan membaca telah hilang keupayaan untuk hidup dan tidak akan berjaya."

Sampan terus bergerak menyusuri sungai.

profesor terus bertanya,"kamu ada menyimpan wang?"

"tidak. wang saya hanya cukup-cukup makan."

"kalau begitu,kamu dah separuh lagi dari kehidupan kamu. mana mungkin orang yang tidak ada wang simpanan mampu untuk hidup dan berjaya. Nanti kehidupan kamu waktu tua akan gelap."

sampan terus bergerak. Tiba-tiba, sampan yang dinaiki mereka bocor. profesor dan si pendayung mengambil tiba untuk membuang air yang masuk ke dalam sampan itu.

Dalam keadaan cemas itu, si pendayung bertanya kepada profesor. "kamu pandai berenang?"

"saya tak pandai berenang."jawab profesor dalam keadaan panik.

"itu bermakna tuan telah kehilangan seluruh dari kehidupan tuan."

p/s:manusia itu diciptakan dengan kelebihan masing-masing. merendah-rendahkan orang lain adalah sangat-sangat ditegah dalam Islam...wallahu a'lam.....

Monday 2 April 2012

Bila duduk dinegeri orang

dah lama tak update blog. maaf lah kawan2 semua,bizi memanjang...

kali nie nak kongsi siket...aku ke singapura...hehe...seronok..
nie sebahagian dari gambar...
aku sebenarnya ke johor jugak...melawat tempat2 industri kapal yang ada kat sana. membukalah sedikit mata aku nie tenang skop kerja dalam teknologi maritim nie...

nah,tengoklah gambar nie...xreti nk cerita banyak....hehee













Friday 16 March 2012

Doa Andai Aku Jatuh Cinta

Allahu Rabbi, aku minta izin
Ketika suatu saat nanti aku jatuh cinta
Jangan biarkan cinta untuk-Mu berkurang
Hingga membuat lalai akan adanya engkau
Allahu Rabbi, aku punya pinta
Ketika suatu saat nanti aku jatuh cinta
Penuhilah hatiku dengan bilangan cinta-Mu yang tak terbatas
Biar rasaku pada-Mu tetap utuh
Allahu Rabbi, izinkanlah
Ketika suatu saat nanti aku jatuh cinta
Pilihkan untukku seseorang yang hatinya penuh dengan cinta-Mu
Dan membuatku semakin mengagumimu
Allahu Rabbi
Ketika suatu saat nanti aku jatuh cinta
Pertemukanlah kami
Berilah kami kesempatan untuk lebih mendekati cinta-Mu
Allahu Rabbi, pintaku yang terakhir
Ketika suatu saat nanti aku jatuh cinta
Jangan pernah Kau palingkan wajah-Mu dariku
Anugerahkanlah aku cinta-Mu
Cinta yang tak pernah pupus oleh waktu
Amiiinnn.


Sunday 11 March 2012

Friday 2 March 2012

Nak Marah Ke?

عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ : أَنَّ رَجُلاً قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم :(( أَوْصِنِي. قَالَ
لاَ تَغْضَبْ. فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ: لاَ تَغْضَبْ ))
 -رواه البخاري-

Daripada Abu Hurairah r.a.:

Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda: Janganlah engkau marah. Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: Janganlah engkau marah.

Marah.Tidak semua yang mampu untuk mengawal marah.Marah menghimpunkan banyak perkara yang kearah keburukan. jika kita meninggalkan segala bentuk keburukankita mendapat segala kebaikan.

"siapa yang mampu untuk menahan marahnyapadahal dia mampu untuk melepaskannya, maka kelak Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan segala makhluk sehingga dia diberi hak untuk memilih bidadari yang disukainya."

(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)


Dalam hadis ini, terdapat dua maksud yang amat penting yang ingin disampaikan kita:

1) mengajar kita semua untuk berusaha dan menahan diri untuk berakhlak baik iaitu sabar dan menahan diri daripada melakukan tindakan buruk apabila marah.

2) mengajar untuk tidak melepaskan perasaan marah bukan pada tempatnya. Perasaan marah sukar untuk dihindari, tetapi wajib untuk kita menahan diri daripada melepaskan perkataan-perkataan ataupun perbuatan yang dilarang oleh Allah.

Kekuatan seseorang tidak terletak pada kuatnya tumbukan ataupun sepakan seseorang, tetapi kekuatan seseorang terletak pada setakat mana dia mampu untuk menahan marahnya.

"Orang kuat bukanlah orang yang mampu memukul lawannya. Tetapi orang yang kuat adalah orang yang mampu mengekang hawa nafsunya ketika sedang marah"

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)





Monday 27 February 2012

Cintaku Padamu,mak

“nanti bila dah siap buai nie,bolehlah Iman duduk belajar kat sini. Takdelah bosan sangat asyik belajar dalam rumah je kan.” suara ayah Iman

Iman tersedar dari lamunan. Jelas tidak kelihatan sesiapa pun di buaian. Air matanya tiba-taba bercucuran jatuh tatkala ingatan kepada ayahnya menyinggah di fikiran. Sudah 2 tahun pak salleh pergi meninggalkan iman dan mak esah. Tetapi ingatan dalam ingatan iman memori bersama ayahnya tetap utuh , tidak pernah tenggelam dimakan zaman.

Mak esah keluar ke beranda sambil membawa air kepada iman.terpancar diwajah iman seribu satu kekusutan sedang melanda.

Mak esah: jauh termenung. Kenapa ni.teringat kat sapa nie.atau iman ada masalah?atau kamu tak sihat.

Iman: herm.iman teringatkan ayah,mak.tak tahu kenapa,sejak akhir-akhir ini,wajah ayah selalu terbit difikiran iman.

Mak esah:kamu menangis iman?dah 2 tahun ayahmu meninggalkan kita semua. Usahlah bersedih nak. Kerana kesedihan bagi kamu itu akan membuatkan mak turut sama sedih.yang dah pergi,biarkan lah pergi nak.berdoalah kepada Allah. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita nak.

Iman:sejak ketiadaan ayah. Hidup kita bertambah susah kan mak. Dulu saat ayah ada, takde lah kita hidup susah macam nie.

Mak esah:iman! Tak baik kamu mempertikaikan hukum Allah sebegitu. Allah dah takdirkan kita hidup susah macam nie.lagi pun,mak masih mampu lagi untuk menyara kamu.dengan duit penjualan kuih mak,mak boleh lagi untuk menampung perbelanjaan sekolah kamu.

Iman:iman bukan mempertikaikan hukum Allah mak. Tapi iman jeles dengan kawan-kawan iman.mak-mak mereka dengan pakaian yang baru-baru.tapi mak iman?tetap dengan baju yang sama,selendang yang sama. Iman bukan malu dengan mak,cuma iman kesal.kenapa iman tak boleh nak bagi seperti mana mak orang lain dapat. Iman teringin nak lihat mak iman pakai pakaian yang baru. Baju baru. Selendang baru. Kain baru.

Mak esah:mak tak perlukan itu semua iman.cukuplah dengan mak melihat kamu berjaya atas muka bumi nie nak.hadiah yang teristimewa bagi mak cumalah kejayaan yang kamu kecapi. Biarlah mak dengan pakaian buruk mak ni,tapi mak bangga dengan kamu nak. Sebab kamu pelajar paling cemerlang disekolah.seandainya kamu dapat semua kemewahan dunia itu,mungkin kamu tak jadi seperti mana pada hari ini. Dengan kejayaan kamu itulah,dapat membantu untuk merubah keluarga kita. Dah la nak, sekarang nie,fokuskan SPM kamu dulu. Doa mak akan sentiasa mengiringi kamu.

Iman: maafkan iman mak.

Keadaan keluarga iman yang miskin menyebabkan iman berusaha untuk merubah keluaganya keluar dari kepompong kemiskinan.semenjak ayahnya meninggal dunia,hasil daripada penjualan kuih maknya saja lah yang digunakan untuk menyara mereka.

*****
Sudah menjadi rutin iman,setelah tamat persekolahan dia akan ke pekan berdekatan. Mencuci kasut orang yang lalu-lalang disitu menjadi sumber pendapatan hariannya. Walaupun sibuk dengan pelajaran, sedikit pun tidak mematahkan semangat iman untuk membantu ibunya. Dia sedar akan nasib keluarganya yang serba daif itu.

Flashback 2 bulan lepas……

Sang suria memancar di pelusuk pekan. Kelihatan Iman bersendirian menuju ke suatu tempat yang penuh dengan lalu lang masyarakat. Titik-titik peluh mulai keluar dari tiap rongga-rangga kulitnya.

Iman masih lmeneruskan langkahnya. Entah mengapa tiba-tiba dirasakan kepalanya berpusing-pusing. Pandangan di depannya mulai gelap. Akhirnya pandangan mata Iman gelap.

Iman:erk..erk..saya kat mana nie ya?

Doktor: haa…baguslah awak dah sedar. Awak kat hospital sekarang nie.Dah dekat 2 jam awak pengsan.

Iman: kenapa dengan saya doktor?saya nak keluar dari sini doktor.

Doktor:saya harap kamu tabah dengan apa yang saya nak katakan ini.

Iman:kenapa?saya sihat je kan.

Doktor:kamu ada barah otak. Diperingkat pertengahan. Bermakna kamu masih ada peluang untuk sembuh. Tapi dengan cara kamu segera menjalani pembedahan.

Iman:tapi…berapa kos pembelanjaannya doktor?mesti mahalkan?

Doktor:RM20,000. Kalau kamu tak buat pembedahan tu, penyakit kamu akan merebak. Fikirlah baik-baik. Demi masa depan kamu. kamu masih muda.

Iman: insyaallah doktor,saya akan cuba. Tapi boleh tak doktor berjanji dengan saya satu perkara?

Doktor: ya. Apa dia?

Iman: tolong rahsiakan hal ini kepada mak saya. Kalau dia tahu, dia mesti susah hati. Mesti dia akan cari duit siang dan malam. Saya bimbang kesihatan dia akan terjejas nanti. Kami pun dari keluarga yang daif dan miskin. Tolong ya doktor. Saya merayu pada doktor.

Doktor: insyaallah.

Kembali kepada masa sekarang….

Sejak dari peristiwa 2 bulan lepas, Iman semakin kuat mencari duit bagi menampung kos perubatannya. Iman sedar, hasil daripada dia menggilap kasut orang ramai di pekan itu adalah cuma seberapa jikalau nak dibandingkan dengan kos perubatannya. Iman selalu beralasan dengan maknya bahawa dia mengikuti kelas tambahan di sekolah walhal, dia mencari duit di pekan.

*****

Kamal:sampai bila kau nak tipu mak kau sebegini?

Iman:aku terpaksa mal. Aku takde cara lain lagi dah. Ini jer jalan yang aku nampak.

Kamal:kau kene ingat man. syurga di bawah telapak kaki ibu man. Jangan nanti jadi sesuatu kat kau, baru kau nak menyesal.

Iman:aku cari rezki yang halal mal. Bukan aku merompak bank pun. Aku cuma perlukan duit,untuk tampung kos perubatan aku. Kau tahu kan aku sakit. Kat sapa lagi aku nak cari duit. Mak aku bukan ada wang sebanyak tu.

Kamal:aku tahu tu. Tapi sekurangya, kau bagitahu mak kau tentang hal nie. Mana tahu dia boleh membantu kau.

Iman: aku bukan tak nak bagitahu mak aku. Tapi kau tahulah kan, kalau aku bagitahu dia, mesti dia susah hati nanti. Aku nie bukanlah dari keluarga yang senang. Aku bimbang, dia akan bekerja keras semata-mata kerana aku. Aku tak nak dah susahkan dia. Dah 17 tahun aku menyusahkan dia. Cukuplah mal. Aku tak nak tambah penderitaan yang ditanggung sejak dua menjak nie.

Kamal:kalau itulah keputusan kau, aku hormatinya sebagai kawan. Aku sebagai kawan, akan sentiasa mendoakan agar kau cepat sembuh.

Iman:terima kasih kamal. Tapi, kau kena janji dangan aku,jangan bagitahu orang lain tau. Aku menaruh kepercayaan nie kepada kau. Aku haraplah, jangan kau kotori janji kita ini.

Kamal: kita dah kawan dari kecik man. Mana mungkin aku akan khianati kau,man.

Kamal:ape lagi yang doktor kata hari tu?

Iman: doktor cakap yang penyakit aku nie dah bercambah. Aku perlu dibedah segera. Kalau tak, kemungkinan aku tak dapat diselamatkan lagi. Mana aku nak cari duit mal.

Kamal:takkan doktor tak boleh tolang kau? Maksud aku, kau bayar setakat mana yang mampu dulu ke,kire kau berhutang dengan hospitallah.

Iman:ada. Tapi doktor kata, aku kena sediakan 5 ribu. Baru aku boleh mulakan pembedahan tu. Sekarang nie, aku baru dapat kumpul RM1500. Banyak lagi yang tak cukup mal. pendapatan mak aku pun,kalau 5 tahun pun belum pasti cukup.

Iman: tak apa lah mal. kalau Allah mahukan aku hidup, insyaallah aku akan selamat. Dan kalau Dia mahu aku kembali mengadapNya, aku redha mal.

Kamal: kau jangan cakap macam tu man. Kau tak boleh mengalah macam nie. Kau kena kuat. Aku ada selalu disamping aku. Dan aku akan tolong kau selagi aku mampu. Insyaallah, kau akan selamat.

******
Iman: macam mana jualan kuih hari nie mak? Banyak ke dapat?

Mak Esah: alhamdulillah man,semua kuih-kuih mak habis hari nie.

Iman:alhamdulillah. Kuih mak kan memang sedap. Sebab tu laku habis.

Mak Esah: ada jer lah anak mak nie. Kerja sekolah dah siap ke? Jangan tak buat pulak, nanti tak pandai. Kalau tak pandai, macam mana nak ubah hidup kita nie.

Iman: walaupon kita susah mak, tapi man tetap syukur sebab masih ada mak yang sangat yang kan man.
Mak man nie lah tempat man bermanja selalu. Mak mesti letih kan. biar man picitkan bahu mak nie. Seharian buat kerja.

Mak Esah: bagusnya anak mak nie. Walaupun kita miskin harta nak,tapi kita jangan lupa untuk berbudi pada orang lain. Harta tak melambangkan kemewahan kita di akhirat san, tapi amalan kita yang ikhlas akan melambangkan harta kita diakhirat sana.

Iman: man sayangkan mak. Penat lelah mak,iman akan ingat sampai bila-bila. Mak dengar ya, iman nak nyanyi. special untuk mak Iman nie.

Lembut kukenang, kasihmu ibu
di dalam hati ku kini menanggung rindu
kau tabur kasih seumur masa
bergetar syahdu, ooh di dalam nadiku

9 bulan ku dalam rahimmu
bersusah payah, oh ibu jaga diriku
sakit dan lelah tak kau hiraukan
demi diriku, oh ibu buah hatimu

tiada ku mampu, membalas jasamu
hanyalah do'a oh di setiap waktu
oh ibu tak henti kuharapkan do'amu
mengalir di setiap nafasku


ibuuuuuuuuuuuuu

Lembut kukenang, kasihmu ibu
di dalam hati ku kini menanggung rindu
engkau tabur kasih seumur masa
bergetar syahdu oh di dalam nadiku

indah bercanda denganmu ibu
di dalam hati ku kini slalu merindu
sakit dan lelah tak kau hiraukan
demi diriku, oh ibu buah hatimu

tiada ku mampu, membalas jasamu
hanyalah doa oh di setiap waktu
oh ibu tak henti kuharapkan doamu
mengalir di setiap nafasku
ibuuuuuuuuuu

*******

Menjadi kebiasaan mak esah untuk bangun awal dan dan menyiapkan kuih-muih untuk dihantar ke gerai-gerai berhampiran. Tatkala azan subuh berkumandang, mak esah akan mengejutkan Iman untuk sama-sama solat subuh berjemaah. Kalau dahulunya, suaminya lah yang akan mengimamkan solat, namun kini tugas menjadi imam dalam keluarganya diambil alih oleh Iman.

Iman bersiap-siap untuk ke sekolah. Mak esah pun telah bersiap untuk ke gerai pak samad yang letaknya 3KM dari rumah mereka. Mereka turun bersama, namun tidak dalam satu laluan. Iman bersalaman tangan maknya. Sehingga Iman hilang dari pandangan mak esah, barulah dia memulakan langkah untuk ke gerai pak samad. Memang begitulah tiap hari sejak dahulu lagi.

DUMMMM!!!

*******

Doktor: saya harap kamu bersabar. Mak kamu perlu menjalani pembedahan dengan seberapa segera. Kalau lambat, saya bimbang nyawanya akan terancam.

Iman: teruk sangat ke mak saya doktor?

Doktor: mak kamu mengalami pendarahan dalam kepala. Kalau tak dibedah dengan segera, saya bimbang ianya akan memudaratkan keselamatan mak kamu.

Iman: berapa kos yang diperlukan doktor untuk pembedahan ini?

Doktor: dalam lingkungan 2-3 ribu.

Iman: insyaallah doktor, saya akan usahakan duit tu. Kalau boleh jalankan pembedahan tu secepatnya,lakukanlah doktor. Tapi doktor kena berjanji dengan saya, akan menyelamatkan mak saya.

Doktor: kalau begitu,jom ikut saya ke pejabat untuk tandatangani beberapa dokumen. Insyaallah, saya buat apa yang termampu. Kita sebagai manusia kena redha dengan apa yang berlaku.



*****

Kamal: kau gila ke man? Takkan ko nak guna duit yang kau simpan sejak dulu lagi tu. Habis tu kau macam mana? Kau pun perlukan duit tu untuk pembedahan penyakit kau tu. Kau sekarang dah ditahap kritikal ni. Fikir baik-baik man.

Iman: habis apa lagi aku boleh buat? Aku tak nak tengak mak aku mati. Aku sayang mak aku. Tapi aku tak mampu untuk menyediakan duit sebanyak tu untuk pembedahan mak aku itu. Aku buntu mal. aku rela berkorban demi mak aku. Aku tahu, dia pun syangkan aku.

Kamal: aku sayang kau iman. Kita dah berkawan lama dah. Aku tak nak kehilangan kau. Bila pembedahan akan dibuat?

Iman: khamis depan. Hari yang sama dengan pembedahan aku. Tapi aku batalkan pembedahan aku tu. Mak aku lebih utama. aku pun sayang kau. My best friend forever.

Iman: nah!!! Nie ada bungkusan, aku nak, kalau terjadi apa-apa pada aku,kau serah kan bungkusan ini kepada mak aku. Aku nak dia gembira dengan bungkusan ini.

kamal: insyaallah iman. akan aku bagi kepada mak kau. tapi kau pun kena ada sekalilah nanti yep. aku tetap doakan agar kau takde apa-apa.

Iman: kenapa semua dugaan ini aku kena tanggung mal? aku nie tak berduit. Kenapa Allah bagi dugaan sebegini kepada aku?

Kamal: iman. Kau tak boleh mempertikaikan kehendak Allah. Dia sedang menguji kamu dengan dugaan sebegini. Bersangka baik lah man dengan Allah. Mungkin dia sedang mengatur sesuatu yang istimewa untuk kamu. kau bersabar ya iman. Aku sentiasa bersama kau walau senang ataupun susah.

Iman: terima kasih mal. kau memang sentiasa ada dengan aku walau aku senang atau susah.

**********

Suasana hospital pada ketika itu diselubungi dengan pelbagai perasaan. Ada yang hiba. Ada kedengaran tangisan seseorang yang meratapi kehilangan seseorang yang amat penting dalam hidupnya. Iman telah selesai menjalani pembedahan yang mendedahkannya kepada risiko. Namun, dek kerana terlalu sayangkan maknya, dia rela menanggung risiko terbabit.

Mak esah perlahan-lahan membukakan matanya. Terpancar di raut wajah kamal, kawan baik iman melihat reaksi daripada mak esah. Tetapi, kegembiraan itu tersekat lantaran ingatan kuat kepada iman kembali bersahutan. Namun, kamal tetap bersama mak esah, untuk menemaninya sehingga dia keluar dari hospital tersebut.

Mak esah: kamal. Mak cik kat mana nie?

Kamal: mak cik kat hospital. Mak cik dilanggar orang, dan mak cik koma selama seminggu. Mak cik baru selesai pembedahan 5jam yang lepas. Alhamdulillah mak cik dah sedar.

Mak esah: iman mana kamal?

Kamal: errr…..errrr…. iman dia datang lambat sikit mak cik. dia ada kerja yang nak diselesaikan.

Kamal terpaksa berbohong kepada mak esah tentang iman. Jauh disudut hatinya, begitu kasihan dengan mak esah.

Kamal: mak cik dah bangun? Tadi Iman datang.

Mak esah:ya ke? Kenapa kamu tak kejutkan mak cik?

Kamal: dia kata dia tak nak ganggu mak cik sedang berehat. Tapi dia ada tinggalkan satu bungkusan untuk mak cik. nie bungkusannya mak cik

Mak esah: iman selalu macam tu. Nak saja dia tengak mak dia nie gembira. Siap ada surat lagi nie.


Warkah untuk mak

Assalamualaikum mak. Iman kat sini sihat jer mak. Iman harap mak sabar dan tenang saja yer. Iman sayang mak.

Mak…mungkin ini adalah warkah terakhir daripada iman. Saat mak membaca surat ini, mungkin Iman dah meninggalkan mak keseorangan disana. Maafkan Iman mak. Iman sayang mak.

Mak…ingat tak iman ada bagitahu mak, nak pakaikan mak sepasang baju baru untuk mak. Mak buka lah bungkusan yang kamal bagi tuh. Iman beli sepasang pakaian untuk mak. Ada baju baru, kain baru dan selendang baru. Mesti mak cantik kan kalau pakai pakaian baru tu. Tapi Iman mintak maaf, sebab tak dapat nak tengak mak pakai pakaian tu. Walaupun tak dapat tengak mak pakai pakaian tuh, tapi dah 18 tahun iman tengak mak cantik. Mak memang sentiasa cantik di mata iman. Iman pernah terdengar mak mengeluh sebab selendang mak dah pudar warnanya. Sebab tu iman belikan mak selendang yang cantik. Nanti bila mak pakai, akan terserlahlah lagi keayuan mak tu. Mak, iman sayang mak

Mak janganlah sedih yer. Ini semua dah ketentuan ilahi. Iman terpaksa pergi dulu sebelum mak pergi. Mak kena tabah. Sebab iman tahu, mak seorang yang kuat dan tabah. Mak…Iman ada penyakit. Iman ada barah di otak. Tapi Iman rahsiakn daripada mak. Iman tak nak mak risaukan Iman. Sebab Iman dah banyak susahkan mak. Jarang Iman buat mak gembira. Tapi kali ini, mungkin Iman akan buat mak menangis lagi. Maafkan iman mak. Iman tak berniat untuk buat mak menangis. sebab mak, sumber kejayaan Iman.
Mak…..

Iman sayang mak. Walaupun Iman dah tak ada disisi mak, tapi letakkanlah Iman tersimpan rapi di hati mak. Maafkan Iman sebab tinggalkan mak dahulu. Iman tak tinggalkan apa-apa untuk mak, tapi cukuplah dengan sepersalinan pakaian tu untuk mak merasai kehadiran Iman disepanjang hari-hari yang mendatang ini.

Sekali lagi Iman nak mintak maaf daripada mak. Sepanjang hidup bersama dengan mak, halalkan makan dan minum Iman. Janganlah mak ratapi kehilangan Iman. Redhalah dengan ketentuan Ilahi. Iman sayang mak…..

-Iman bin Salleh-
27-02-2012

Berderetan air mata mengalir ke pipi mak esah. Dia sedar akan kehilangan anak kesayangannya. Kini hidupnya keseorangan. Tiada lagi orang yang boleh dijadikan teman untuk bercakap semasa di rumah. Tidak ada lagi orang yang boleh memberikan senyuman kepadanya ketika di rumah. Tetapi hidup harus diteruskan. Itulah lumrah kehidupan yang mesti dan pasti akan ditempuhi oleh semua manusia.