Monday 23 April 2012

Tiada Yang Mustahil

Di suatu sudut perkampungan, tinggal sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ayah dan anaknya. Si ayah yang sudah tua itu memiliki  seorang anak yang sentiasa melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.

Suatu hari, ayahnya menegur anaknya itu agar tidak lagi melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah. Si ayah berasa teramat sedih melihat saban hari anaknya akan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Namun nasihat ayahnya tetap tidak diendahkan oleh si anak.

"Wahai anakku,aku bakal menutup mata dari melihat dunia ini. Adalah menjadi suatu sesalan bagi aku apabila aku mati nanti, dirimu tetap tidak berubah untuk mengingati Allah. Bermula pada ketika ini, setiap perkara yang engkau lakukan yang mengundang marah Allah, akan aku pacakkan satu paku di dinding itu." berkata si ayah.

Namun anaknya tidak sedikit pun terkesan pada hatinya.

Selang beberapa bulan, si anak melihat ayahnya memcakkan sebatang paku pada dinding yang telah dinyatakan oleh ayahnya. Dilihatnya pada dinding tersebut penuh dengan paku sehinggakan tidak ada ruangan kosong pada dinding tersebut. Terbit perasaan insaf dalam diri si anak untuk berubah. Betapa selama ini, dia hanya leka dengan dunianya sahaja.

Bermula pada hari ini, si anak berubah sedikit demi sedikit. Setiap kebaikan yang dilakukannya, si ayah akan mencabut paku yang telah dipacakkan semasa dia melakukan kemurkaan kepada Allah dulu.

Sekitar dua tahun selepas itu, si anak melihat ayahnya mencabut batang paku yang terakhir pada dinding itu. Terpancar jelas kegembiraan pada wajah ayahnya apabila mencabut paku yang terakhir itu.

"Wahai anakku, hari ini aku sangat terharu akan perubahan dirimu. Namun anakku,lihatlah pada dinding itu. Walaupun paku telah aku buang dari dinding itu, namun masih terdapat kesan yang ditinggalkan pada dinding tersebut."

"Aku mahu kau ingat, memang sukar untuk memadamkan keburukan yang telah kita lakukan kepada orang lain. Namun, kebaikanlah yang dapat memadamkan api keburukan yang telah kita lakukan dulu. Teruskanlah istiqamah dalam melakukan perubahan ini."

Tidak lama selepas itu si ayah pun meninggal dunia dan si anak terus istiqamah dengan perubahan dirinya. Pada hari ini si anak tersebut telah menjadi orang yang disegani oleh masyarakat dan sentiasa membantu sesiapa yang memerlukan.

p/s:

1) Tidak mustahil untuk melakukan perubahan
2) Keburukan lebih senang diingati daripada kebaikan
3) Tiada apa yang paling bernilai dimata seorang bapa, hanyalah ingin melihat nilai murnia terbit dalam diri anaknya

Wallahu A'lam...

1 comment: